10 Jika Timotius datang, sambutlah dia dengan baik, kerana dia pun seperti aku yang bekerja untuk Tuhan.
11 Janganlah sesiapa pun memandang rendah kepadanya, tetapi bantulah dia meneruskan perjalanannya untuk kembali kepadaku dengan sejahtera, kerana aku menantikan kedatangannya bersama dengan saudara-saudara yang lain.
12 Sekarang tentang saudara kita, Apolos. Sudah beberapa kali aku menganjurkan dia melawat kamu bersama dengan saudara-saudara yang lain. Tetapi dia tidak yakin bahawa dia harus pergi sekarang. Jika ada peluang kelak, tentu dia akan datang.
13 Hendaklah kamu waspada dan teguh dalam hidup kamu sebagai orang Kristian. Hendaklah kamu tabah hati dan sungguh-sungguh percaya kepada Tuhan.
14 Lakukanlah semua kerja kamu dengan kasih.
15 Tentu kamu mengenal Stefanus dan keluarganya; merekalah yang mula-mula menjadi orang Kristian di negeri Akhaya. Dengan sepenuh hati mereka melayani umat Allah.
16 Aku menganjurkan kamu supaya menurut pimpinan orang seperti itu dan setiap orang yang bekerjasama, dan melayani jemaah dengan mereka.