15 Kemudian orang itu pergi dan memberitahu para penguasa Yahudi bahawa Yesuslah yang menyembuhkan dia.
16 Oleh itu, mereka mula memusuhi Yesus, kerana Dia menyembuhkan orang pada hari Sabat.
17 Tetapi Yesus berkata kepada mereka, “Bapa-Ku sentiasa bekerja; Aku pun harus bekerja.”
18 Kata-kata-Nya ini membuat para penguasa Yahudi semakin bertekad untuk membunuh Dia. Bukan sahaja Dia telah melanggar hukum hari Sabat, tetapi Dia berkata bahawa Allah itu Bapa-Nya. Hal ini bererti Dia menyamakan diri dengan Allah.
19 Yesus menjawab mereka, “Percayalah, Anak tidak dapat melakukan apa-apa menurut kehendak-Nya sendiri. Dia hanya melakukan apa yang dilihat-Nya dilakukan oleh Bapa-Nya. Apa yang dilakukan oleh Bapa, perkara itu juga yang dilakukan oleh Anak.
20 Bapa mengasihi Anak dan menunjukkan segala yang dilakukan-Nya kepada-Nya. Dia akan menyatakan perkara-perkara yang lebih besar lagi kepada Anak sehingga kamu semua hairan.
21 Sebagaimana Bapa membangkitkan orang mati dan menyebabkan mereka hidup, begitu juga Anak memberikan hidup kepada orang yang dikehendaki-Nya.