2 Tawarikh 29:18-24 BMDC

18 Orang Lewi memberi Raja Hizkia laporan berikut, “Kami telah selesai menyucikan seluruh Rumah TUHAN, termasuk mazbah tempat mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati TUHAN, dan meja untuk roti sajian, dengan segala perkakasnya.

19 Kami juga telah mengembalikan semua perkakas yang diambil oleh Raja Ahas ketika baginda tidak setia kepada Allah pada masa pemerintahannya. Semua perkakas itu telah kami tahbiskan semula untuk TUHAN, dan sekarang semuanya terletak di hadapan mazbah.”

20 Dengan segera Raja Hizkia mengumpulkan pemimpin-pemimpin kota itu, dan masuk ke dalam Rumah TUHAN bersama-sama mereka.

21 Sebagai persembahan untuk menghapus dosa keluarga diraja serta dosa penduduk Yehuda, dan untuk menyucikan Rumah TUHAN, mereka membawa tujuh ekor lembu jantan, tujuh ekor domba jantan, tujuh ekor anak domba, dan tujuh ekor kambing jantan. Raja menyuruh imam-imam keturunan Harun mempersembahkan semua binatang itu sebagai korban di atas mazbah.

22 Mula-mula imam menyembelih lembu jantan, kemudian domba jantan, lalu anak domba. Mereka memercikkan darah tiap-tiap korban itu di atas mazbah.

23 Akhirnya mereka membawa kambing jantan kepada raja dan rakyat, lalu mereka meletakkan tangan di atas binatang itu.

24 Selepas itu, imam-imam menyembelih kambing-kambing itu lalu menuang darah kambing di atas mazbah, untuk menghapuskan dosa segenap rakyat, kerana raja telah memerintah mereka mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati TUHAN dan korban untuk mengampunkan dosa segenap rakyat Israel.