21 Aku mempelajari hal-hal yang sudah diketahui mahupun yang masih tersembunyi kerana diajar oleh kebijaksanaan yang membentuk segala sesuatu.
22 Roh kebijaksanaan itu arif dan suci; dia tunggal tetapi banyak caranya dia menyatakan diri. Dia halus dan bergerak dengan bebas, jelas, bersih, terang, dan tidak dapat dirosak. Dia cerdas dan suka akan kebaikan.
23 Dia tidak terkalahkan, dia murah hati dan sayang kepada manusia. Dia boleh diharap, mantap, dan tidak kenal susah. Dia mengawasi dan menguasai segala-galanya serta menyelami semua roh arif dan murni, bahkan yang paling halus.
24 Kebijaksanaan lebih mudah bergerak daripada segala gerakan; kerana bersih, dia menembus segala sesuatu.
25 Kebijaksanaan ialah nafas kekuatan Allah, pancaran murni daripada kemuliaan Yang Maha Kuasa. Maka tiada sesuatu pun yang bernoda dapat menyusup ke dalamnya,
26 oleh sebab kebijaksanaan adalah pantulan cahaya abadi dan cermin sempurna bagi kegiatan dan kebaikan Allah.
27 Meskipun sendirian, kebijaksanaan mampu melakukan segalanya. Walaupun kebijaksanaan sendiri tidak berubah, kebijaksanaan membaharui semuanya. Turun-temurun kebijaksanaan masuk ke dalam jiwa orang suci dan menjadikan mereka nabi dan sahabat Allah.