15 Engkau dapat bercakap dengan dia, dan memberitahu dia apa yang harus dikatakannya. Aku akan menolong kamu berdua, dan memberitahu kamu apa yang harus dikatakan dan dilakukan.
16 Dia akan berkata-kata kepada umat itu bagi pihakmu. Dia akan menjadi jurucakapmu, dan engkau menjadi seperti Allah yang memberitahu apa yang harus dikatakannya.
17 Bawalah tongkat ini; engkau akan melakukan mukjizat-mukjizat dengan tongkat ini.”
18 Sesudah itu Musa balik ke rumah Yitro, bapa mentuanya. Musa berkata kepadanya, “Tolong benarkan saya balik kepada saudara-mara saya di Mesir, untuk melihat sama ada mereka masih hidup.” Yitro bersetuju, lalu mengucapkan selamat jalan kepada Musa.
19 Ketika Musa masih di Midian, TUHAN berfirman kepadanya, “Baliklah ke Mesir, kerana semua orang yang hendak membunuh engkau sudah meninggal.”
20 Oleh itu Musa membawa isteri serta anak-anaknya dan menaikkan mereka ke atas keldai, lalu mereka berangkat ke Mesir. Musa membawa tongkatnya juga, menurut perintah Allah kepadanya.
21 TUHAN berfirman kepada Musa lagi, “Aku sudah memberikan kuasa kepadamu untuk melakukan mukjizat-mukjizat. Oleh itu selepas engkau tiba di Mesir, lakukanlah segala mukjizat itu di hadapan raja Mesir. Tetapi Aku akan menyebabkan dia berdegil, sehingga dia tidak membenarkan umat itu pergi.