9 Yesus berkata kepadanya, “Pada hari ini Allah telah menyelamatkan kamu dan keluargamu, kerana kamu juga keturunan Abraham.
10 Anak Manusia datang untuk mencari dan menyelamatkan orang yang sesat.”
11 Sementara orang masih mendengar Yesus berkata-kata, Yesus menceritakan perumpamaan berikut. Pada waktu itu Dia hampir tiba di Yerusalem dan orang ramai menyangka bahawa Allah segera akan memerintah di bumi.
12 Oleh itu Yesus berkata kepada mereka, “Seorang bangsawan pergi ke negeri yang jauh untuk dilantik menjadi raja, dan kemudian dia akan kembali.
13 Tetapi sebelum dia berangkat, dia memanggil sepuluh orang hambanya lalu memberikan sekeping wang emas kepada setiap orang. Dia berkata, ‘Berniagalah dengan wang ini semasa aku pergi.’
14 Tetapi penduduk negerinya membenci dia. Setelah dia berangkat, mereka mengirim utusan untuk mengatakan, ‘Kami tidak mahu orang ini menjadi raja kami.’
15 Orang bangsawan itu dilantik menjadi raja, lalu pulang ke negerinya. Dengan segera dia menyuruh semua hambanya yang sudah menerima wang emas supaya datang menghadap. Raja hendak mengetahui keuntungan yang diperoleh mereka.