6 Mereka mengaku dosa, lalu Yohanes membaptis mereka di Sungai Yordan.
7 Banyak orang Farisi dan Saduki datang kepadanya untuk dibaptis. Apabila Yohanes melihat mereka, dia berkata “Hai kamu orang jahat! Siapakah yang memberitahu kamu bahawa kamu dapat melepaskan diri daripada hukuman Allah yang akan datang?
8 Lakukanlah perkara-perkara yang menunjukkan bahawa kamu sudah bertaubat daripada dosa.
9 Jangan sangka kamu dapat melepaskan diri daripada hukuman dengan berkata, ‘Abraham nenek moyang kami.’ Ketahuilah, Allah dapat membuat batu-batu ini menjadi keturunan untuk Abraham!
10 Kapak sudah tersedia untuk menebang pokok hingga ke akarnya. Tiap-tiap pokok yang tidak menghasilkan buah yang baik akan ditebang dan dibuang ke dalam api.
11 Aku membaptis kamu dengan air untuk menyatakan bahawa kamu sudah bertaubat daripada dosa. Tetapi Dia yang datang kemudian daripada aku akan membaptis kamu dengan Roh Allah dan api. Dia lebih besar daripada aku, sehingga menjinjing kasut-Nya pun aku tidak layak.
12 Tangan-Nya memegang nyiru untuk menampi. Dia akan mengumpulkan gandum yang bersih di dalam jelapang, tetapi Dia akan membakar sekam di dalam api yang tidak dapat padam.”