2 Lalu aku mendengar suara dari langit, seperti deruman air terjun dan seperti gemuruh guruh. Bunyi itu seperti muzik daripada para pemain kecapi yang memainkan kecapi.
3 Di hadapan takhta, empat makhluk hidup itu, dan pemimpin-pemimpin itu, berdirilah 144,000 orang itu. Mereka menyanyikan satu nyanyian baru, yang tidak dapat dinyanyikan orang lain. Mereka sahajalah yang telah diselamatkan oleh Allah.
4 Mereka tidak bersetubuh dengan wanita. Oleh itu mereka murni seperti anak dara. Mereka mengikuti Anak Domba ke mana sahaja Dia pergi. Antara umat manusia, merekalah yang telah diselamatkan oleh Allah. Mereka milik Allah dan Anak Domba itu, kerana mereka seperti bahagian pertama daripada tuaian, yang dipersembahkan kepada Allah.
5 Mereka tidak pernah berbohong; mereka tidak bercela.
6 Kemudian aku nampak satu lagi malaikat terbang tinggi di angkasa. Dia membawa berita baik yang kekal untuk diisytiharkan kepada manusia di bumi, iaitu kepada semua bangsa, suku, bahasa, dan negara.
7 Malaikat itu berseru, “Hormatilah Allah dan pujilah kebesaran-Nya! Tibalah masanya Allah menghakimi manusia. Sembahlah Dia yang menjadikan langit, bumi, laut, dan semua mata air!”
8 Setelah malaikat pertama pergi, datanglah malaikat kedua yang berkata, “Kota Babel sudah jatuh! Kota besar itu sudah jatuh! Perbuatan cabul kota Babel merosakkan semua bangsa, seperti wain yang memabukkan mereka.”