4 Semua orang Israel yang berkumpul suka dengan cadangan itu, lalu mereka menyetujuinya.
5 Oleh itu Raja Daud mengumpulkan rakyat Israel dari seluruh negeri, dari sempadan negeri Mesir di selatan sampai ke Genting Hamat di utara, untuk mengambil Tabut Perjanjian dari Kiryat-Yearim dan memindahkannya ke Yerusalem.
6 Kemudian Raja Daud dan segenap rakyat Israel pergi ke kota Baala, iaitu Kiryat-Yearim, di kawasan Yehuda untuk mengambil Tabut Perjanjian Allah. Tabut itu dinamakan “TUHAN yang bertakhta di atas kerub”.
7 Apabila mereka tiba di Baala, mereka mengambil Tabut Perjanjian itu dari rumah Abinadab, lalu menaikkannya ke atas sebuah pedati yang baru. Uza dan Ahyo mengiringi pedati itu,
8 sedangkan Raja Daud dan segenap umat Israel menari-nari dengan penuh semangat untuk menghormati Allah. Mereka menyanyi sambil memainkan alat-alat muzik - kecapi, gambus, tamburin, simbal, dan trompet.
9 Apabila mereka sampai di tempat mengirik gandum kepunyaan Kidon, lembu-lembu yang menarik pedati itu tersandung. Lalu Uza menghulurkan tangan dan memegang Tabut Perjanjian itu supaya tidak jatuh.
10 Ketika itu juga TUHAN murka terhadap Uza dan membunuh dia, kerana dia memegang Tabut. Uza meninggal di situ, di hadapan Allah.