6 Raja Daud memanggil Salomo, putera baginda dan memerintah dia untuk membina sebuah rumah bagi TUHAN Allah yang disembah umat Israel.
7 Raja Daud bertitah kepada Salomo, “Hai putera beta, telah lama beta berniat membina sebuah rumah untuk menghormati TUHAN Allah beta.
8 Tetapi TUHAN berfirman bahawa beta terlalu sering bertempur dan telah membunuh banyak orang. Oleh itu Dia tidak membenarkan beta membina rumah untuk-Nya.
9 Meskipun begitu Dia telah berjanji kepada beta. Firman-Nya, ‘Engkau akan mendapat seorang anak lelaki, dan dia akan memerintah dengan aman kerana Aku akan menolong dia sehingga tiada musuh yang memerangi dia. Dia akan dinamakan Salomo, kerana pada zaman pemerintahannya, Aku akan membuat Israel aman dan tenteram.
10 Anakmu itu akan membina rumah untuk-Ku. Dia akan menjadi anak-Ku dan Aku menjadi Bapanya. Takhta kerajaan Israel akan tetap pada keturunannya sampai selama-lamanya.’ ”
11 Raja Daud bertitah lagi, “Oleh itu, hai putera beta, semoga TUHAN, Allahmu selalu menyertai engkau. Semoga engkau berjaya membina rumah untuk TUHAN seperti yang telah dijanjikan-Nya.
12 Semoga TUHAN, Allahmu memberikan pengertian dan kebijaksanaan kepadamu, supaya engkau dapat memerintah Israel menurut Taurat-Nya.