1 Raja Daud memerintahkan semua pemimpin Israel supaya berkumpul di Yerusalem. Oleh itu semua ketua suku, pegawai pentadbiran kerajaan, ketua puak, pengurus harta benda dan ternakan raja, serta putera-putera raja - pendek kata, semua pembesar istana, panglima dan orang penting - berkumpul di Yerusalem.
2 Raja Daud berdiri di hadapan mereka lalu bertitah, “Dengarlah, hai rakyat beta! Telah lama beta berniat untuk membina sebuah rumah yang tetap untuk Tabut Perjanjian, alas kaki TUHAN, Allah kita. Beta telah mengadakan persiapan untuk membina sebuah rumah tempat menyembah Dia.
3 Tetapi TUHAN tidak membenarkan beta berbuat demikian, kerana beta seorang askar dan telah menumpahkan darah.
4 TUHAN, Allah yang disembah Israel memilih beta dan keturunan beta untuk memerintah Israel selama-lamanya. Dia memilih suku Yehuda untuk menyediakan seorang pemimpin, dan daripada suku itu Dia memilih keluarga ayahanda beta. Kemudian daripada keluarga ayahanda beta, Dia berkenan memilih beta dan menjadikan beta raja seluruh Israel.
5 Dia memberi beta banyak putera, dan di kalangan mereka Dia memilih Salomo untuk memerintah Israel, kerajaan TUHAN.
6 TUHAN berfirman kepada beta begini, ‘Salomo anakmu akan membina sebuah rumah bagi-Ku. Aku telah memilih dia menjadi anak-Ku, dan Aku menjadi Bapanya.