3 Tetapi TUHAN tidak membenarkan beta berbuat demikian, kerana beta seorang askar dan telah menumpahkan darah.
4 TUHAN, Allah yang disembah Israel memilih beta dan keturunan beta untuk memerintah Israel selama-lamanya. Dia memilih suku Yehuda untuk menyediakan seorang pemimpin, dan daripada suku itu Dia memilih keluarga ayahanda beta. Kemudian daripada keluarga ayahanda beta, Dia berkenan memilih beta dan menjadikan beta raja seluruh Israel.
5 Dia memberi beta banyak putera, dan di kalangan mereka Dia memilih Salomo untuk memerintah Israel, kerajaan TUHAN.
6 TUHAN berfirman kepada beta begini, ‘Salomo anakmu akan membina sebuah rumah bagi-Ku. Aku telah memilih dia menjadi anak-Ku, dan Aku menjadi Bapanya.
7 Jika dia sungguh-sungguh tetap mentaati segala hukum dan perintah-Ku seperti yang dilakukannya sekarang, maka Aku akan mengukuhkan kerajaannya selama-lamanya.’ ”
8 Kemudian Raja Daud bertitah lagi, “Oleh itu, hai rakyat beta, di hadapan Allah kita dan di hadapan perhimpunan segenap Israel, umat TUHAN ini, beta minta dengan sungguh-sungguh supaya kamu mentaati segala perintah TUHAN, Allah kita. Dengan demikian kamu dapat tetap memiliki negeri yang baik ini dan mewariskannya kepada keturunan kamu sampai selama-lamanya.”
9 Lalu kepada Salomo, Raja Daud bertitah, “Hai putera beta, hendaklah Allah yang disembah ayahandamu, engkau akui sebagai Allahmu. Engkau harus mengabdikan diri kepada-Nya dengan tulus ikhlas dan rela hati, kerana Dia tahu akan segala fikiran dan keinginan hati kita. Jika engkau mencari Dia, engkau akan mendapatkan Dia, tetapi jika engkau meninggalkan Dia, Dia akan menolak engkau selama-lamanya.