2 Raja-Raja 10:1-7 BM

1 Tujuh puluh orang keturunan Raja Ahab tinggal di kota Samaria. Kemudian Raja Yehu menulis sepucuk surat dan mengirim salinannya kepada para penguasa kota itu, para pemimpin rakyat, dan wali-wali kepada keturunan Raja Ahab. Demikian kandungan surat itu:

2 “Kamu wali kepada keturunan raja, dan kamu mempunyai semua kereta kuda, kuda, senjata, serta kota-kota yang berkubu. Oleh itu, sebaik sahaja kamu menerima surat ini,

3 pilihlah yang paling layak di kalangan keturunan raja, dan lantiklah dia menjadi raja, lalu berjuanglah membela dia.”

4 Para penguasa Samaria ketakutan. Mereka berkata, “Bagaimanakah kita dapat menentang Raja Yehu, sedangkan Raja Yoram dan Raja Ahazia pun tidak dapat menentangnya?”

5 Oleh itu ketua pegawai istana dan ketua pegawai kota, bersama-sama para pemimpin rakyat dan para wali, mengirim jawapan ini kepada Raja Yehu. Kata mereka, “Kami hamba-hamba tuanku. Kami bersedia menjunjung titah tuanku. Kami tidak mahu melantik sesiapa pun menjadi raja. Lakukanlah apa sahaja yang baik pada pandangan tuanku.”

6 Raja Yehu menulis sepucuk surat lagi kepada mereka. Kandungannya demikian, “Jika kamu memihak beta, dan bersedia menjunjung titah beta, bawalah kepala semua keturunan Raja Ahab kepada beta di Yizreel pada waktu ini esok.”Pada masa itu, tujuh puluh orang keturunan Raja Ahab diasuh dan dibesarkan oleh para pemimpin rakyat kota Samaria.

7 Apabila mereka menerima surat Raja Yehu, mereka membunuh semua keturunan Raja Ahab, yang sebanyak tujuh puluh orang. Mereka memasukkan kepala-kepala itu ke dalam beberapa buah bakul, lalu mengirimkan semuanya kepada Raja Yehu di Yizreel.