22 “Ya,” jawab Raja Daud, “memang beta berpuasa dan menangis ketika anak itu masih hidup kerana beta berfikir, mungkin TUHAN akan mengasihani beta dan membolehkan anak itu hidup.
23 Tetapi sekarang, setelah dia mangkat, apakah gunanya beta terus berpuasa? Dapatkah beta menghidupkan dia semula? Nanti beta akan pergi juga ke tempat dia berada, tetapi sekarang dia tidak akan kembali kepada beta.”
24 Raja Daud menghibur hati Batsyeba isterinya, lalu berseketiduran dengan dia. Kemudian Batsyeba melahirkan seorang anak lelaki yang dinamakan Salomo oleh Raja Daud. TUHAN mengasihi anak itu
25 dan menyuruh Nabi Natan menamakan anak itu Yedija, kerana TUHAN mengasihi dia.
26 Sementara itu Yoab masih bertempur untuk merebut Raba, ibu kota negeri Amon, dan dia telah hampir merebut kota itu.
27 Oleh itu dia mengirim utusan kepada Raja Daud dan melaporkan, “Hamba telah menyerang Raba dan merampas bekalan airnya.
28 Sekarang, sudilah tuanku mengumpulkan tentera kita yang lain, lalu memimpin serangan untuk merebut kota itu. Dengan demikian tidak akan dikatakan orang bahawa hamba yang merebut kota itu.”