3 Raja bertanya kepadanya, “Di manakah Mefiboset, cucu tuanmu Raja Saul?”Ziba menjawab, “Dia tinggal di Yerusalem, kerana dia yakin bahawa umat Israel akan mengembalikan kerajaan datuknya Raja Saul kepadanya.”
4 Raja bertitah kepada Ziba, “Mulai sekarang segala milik Mefiboset menjadi milikmu.”“Terima kasih tuanku,” jawab Ziba. “Semoga hamba selalu diperkenan oleh tuanku.”
5 Apabila Raja Daud sampai di Bahurim, seorang dari tempat itu datang menghampiri rombongan raja sambil mengutuki Raja Daud. Orang itu bernama Simei anak Gera, salah seorang sanak saudara Raja Saul.
6 Simei melempari Raja Daud dan para pegawainya dengan batu, meskipun Raja Daud dikelilingi oleh anak buahnya dan para pengawalnya.
7 Simei mengutuki baginda dan berkata, “Pergi! Pergi! Pembunuh! Penjenayah!
8 Engkau telah merampas kerajaan Raja Saul! Sekarang engkau dihukum oleh TUHAN kerana membunuh begitu banyak sanak saudara Raja Saul. TUHAN telah memberikan kerajaanmu kepada anakmu Absalom. Sekarang mampuslah engkau, hai pembunuh!”
9 Abisai, ibunya ialah Zeruya, berkata kepada raja, “Mengapa tuanku membiarkan anjing ini mengutuki tuanku? Benarkanlah hamba memenggal kepalanya!”