1 Raja Manasye berusia dua belas tahun ketika baginda menjadi raja Yehuda, dan baginda memerintah di Yerusalem selama lima puluh lima tahun.
2 Raja Manasye berdosa terhadap TUHAN, kerana mengikut perbuatan keji yang dilakukan bangsa-bangsa yang telah diusir oleh TUHAN ketika umat-Nya menduduki negeri itu dahulu.
3 Raja Manasye membina semula tempat-tempat penyembahan berhala yang telah dimusnahkan oleh ayahandanya Raja Hizkia. Raja Manasye membina mazbah untuk menyembah Baal dan membuat patung-patung Dewi Asyera. Baginda juga menyembah bintang-bintang.
4 Raja Manasye membina mazbah-mazbah untuk dewa-dewa di dalam Rumah TUHAN, tempat yang ditentukan TUHAN sebagai tempat beribadat kepada-Nya untuk selama-lamanya.
5 Raja Manasye juga membina mazbah-mazbah di kedua-dua halaman Rumah TUHAN untuk menyembah bintang-bintang.
6 Baginda mempersembahkan putera-puteranya di Lembah Hinom sebagai korban yang dibakar. Baginda mengamalkan ilmu tilik dan sihir; baginda berhubungan dengan ahli-ahli nujum dan bomoh. Raja Manasye sangat berdosa terhadap TUHAN dan membangkitkan kemurkaan-Nya.