5 Di Mesir, kita dapat makan ikan sebanyak yang kita mahu tanpa membayar apa-apa. Kita masih ingat akan timun, tembikai, bawang kucai, bawang merah, dan bawang putih di sana.
6 Tetapi sekarang kita kehabisan tenaga kerana tidak ada makanan lain kecuali manna tiap-tiap hari.”
7 Manna itu bentuknya seperti biji-biji kecil, berwarna putih kekuning-kuningan.
8-9 Pada waktu malam manna jatuh bersama-sama embun ke tempat perkhemahan. Pada waktu pagi, orang Israel pergi mengumpulkan manna, lalu menggiling atau menumbuknya menjadi tepung, kemudian merebusnya dan membuatnya menjadi roti tipis. Roti itu rasanya seperti roti yang dimasak dengan minyak zaitun.
10 Musa mendengar semua orang itu bersungut, ketika mereka berdiri berkelompok-kelompok di depan pintu khemah mereka. Musa gelisah kerana TUHAN murka terhadap mereka.
11 Musa berkata kepada TUHAN, “Mengapakah Engkau tidak memperlakukan aku dengan baik? Mengapakah Engkau tidak suka kepadaku? Mengapakah Engkau menyerahkan tanggungjawab atas semua orang ini kepadaku?
12 Mereka tidak kukandung dan tidak kulahirkan. Mengapakah Engkau menyuruh aku mengasuh dan mendukung mereka seperti bayi, sepanjang perjalanan ke tanah yang Engkau janjikan kepada nenek moyang mereka?