12 Tetapi TUHAN menegur Musa dan Harun, lalu berfirman, “Kerana kamu kurang percaya kepada-Ku untuk menyatakan kuasa-Ku yang suci di hadapan umat Israel, kamu tidak akan memimpin umat itu ke tanah yang Aku janjikan kepada mereka.”
13 Peristiwa itu terjadi di Meriba. Di tempat itu umat Israel bersungut-sungut terhadap TUHAN, dan di situ juga TUHAN menunjukkan kuasa-Nya yang suci kepada umat itu.
14 Kemudian Musa mengutus utusan-utusan dari Kades untuk menghadap raja Edom. Para utusan itu berkata, “Hamba semua daripada suku-suku Israel yang masih ada hubungan kekeluargaan dengan tuanku. Tuanku tahu akan kesusahan yang menimpa hamba sekalian.
15 Nenek moyang hamba pergi ke negeri Mesir dan menetap di sana bertahun-tahun lamanya. Nenek moyang hamba dan hamba sekalian dianiaya oleh bangsa Mesir,
16 lalu hamba semua berseru meminta tolong kepada TUHAN. TUHAN mendengar seruan hamba sekalian lalu mengutus satu malaikat untuk memimpin hamba semua keluar dari Mesir. Sekarang hamba sekalian berada di Kades, sebuah kota di sempadan tanah tuanku.
17 Benarkanlah hamba semua melalui tanah tuanku. Hamba sekalian dan ternakan hamba semua tidak akan menyimpang ke ladang atau ke kebun anggur tuanku. Hamba sekalian tidak akan minum air dari perigi tuanku. Hamba semua akan terus mengikut jalan raya sehingga hamba sekalian keluar dari tanah tuanku.”
18 Tetapi orang Edom menjawab, “Kami tidak membenarkan kamu melalui tanah kami! Jika kamu nekad juga, kami akan menyerang kamu.”