1 Umat Israel meneruskan perjalanan lalu berkhemah di dataran Moab, di sebelah timur Sungai Yordan, di seberang kota Yerikho.
2-3 Apabila raja Moab yang bernama Raja Balak anak Zipor, mendengar hal yang dilakukan umat Israel terhadap orang Amori, dan betapa besarnya bilangan umat Israel itu, raja dan rakyatnya menjadi takut.
4 Orang Moab berkata kepada para pemimpin orang Midian, “Gerombolan yang besar ini akan segera melahap semua yang di sekeliling kita, seperti lembu melahap rumput di padang.” Oleh itu Raja Balak
5 mengirim utusan untuk memanggil Bileam anak Beor, yang ketika itu tinggal di Petor dekat Sungai Efrat, di tanah Amau. Mereka disuruh menyampaikan pesan Balak ini kepada Bileam, “Satu bangsa sudah datang dari Mesir, dan sekarang umat itu berada di merata-rata tempat serta mengancam untuk merebut tanah kami.
6 Mereka lebih kuat daripada kami. Oleh sebab itu datanglah untuk mengutuk mereka bagi beta, supaya mudah-mudahan kami dapat mengalahkan mereka dan mengusir mereka dari tanah kami. Beta tahu bahawa orang yang kamu berkati akan mendapat berkat, dan orang yang kamu kutuk akan mendapat kutuk.”