5 Oleh itu, orang Yahudi dapat berbuat apa sahaja terhadap musuh mereka. Orang Yahudi menyerang dengan pedang serta membunuh mereka.
6 Di Susan sahaja, di ibu kota itu, orang Yahudi membunuh sebanyak 500 orang.
7-10 Di kalangan orang yang dibunuh adalah sepuluh orang anak lelaki Haman anak Hamedata, musuh orang Yahudi itu. Mereka ialah Parsandata, Dalfon, Aspata, Porata, Adalya, Aridata, Parmasta, Arisai, Aridai, dan Waizata. Walaupun demikian, orang Yahudi tidak merampas harta orang.
11 Pada hari itu juga, bilangan orang yang dibunuh di Susan dilaporkan kepada raja.
12 Raja memberitahu Permaisuri Ester, “Di Susan sahaja orang Yahudi sudah membunuh 500 orang, termasuk sepuluh orang anak lelaki Haman. Betapa dahsyat lagi pembunuhan yang mungkin berlaku di wilayah-wilayah! Sekarang apa lagi keinginan adinda? Katakanlah, beta akan memberikannya kepada adinda.”
13 Ester berkata, “Jika tuanku berkenan, benarkanlah orang Yahudi di Susan melakukan lagi pada hari esok apa yang dilakukan mereka hari ini. Hendaklah mayat anak-anak lelaki Haman itu digantung pada tiang penggantungan.”
14 Raja memberikan perintah untuk melaksanakan permintaan Ester. Surat perintah dikeluarkan di Susan dan mayat kesemua anak lelaki Haman digantung.