14 Oleh itu, apa yang Kulakukan terhadap Silo akan Kulakukan terhadap Rumah-Ku ini, tempat yang kamu harapkan. Tempat yang Kuberikan kepada nenek moyang kamu dan kepada kamu ini akan Kuperlakukan seperti Silo.
15 Aku akan mengusir kamu dari hadirat-Ku seperti Aku mengusir sanak keluarga kamu, orang Israel. Aku, TUHAN, telah berfirman.”
16 TUHAN berfirman, “Hai Yeremia, jangan doakan umat ini. Jangan berseru minta tolong atau berdoa untuk mereka; jangan merayu kepada-Ku, kerana Aku tidak mahu mendengarkan engkau.
17 Engkau sendiri nampak perbuatan mereka di kota-kota Yehuda dan di jalan-jalan di Yerusalem!
18 Anak-anak mengumpulkan kayu api, orang lelaki menyalakan api, dan orang perempuan mencampur adunan untuk membuat kuih bagi dewi yang dinamakan mereka sebagai Ratu Syurga. Mereka juga mempersembahkan wain kepada tuhan-tuhan lain untuk menyakiti hati-Ku.
19 Tetapi sesungguhnya, bukan Aku yang disakiti mereka, melainkan diri mereka sendiri sehingga mereka dipermalukan.
20 Oleh itu Aku, TUHAN Raja akan menimpakan kemurkaan-Ku yang menyala-nyala, terhadap Rumah TUHAN, terhadap manusia dan binatang, dan juga terhadap pokok serta hasil bumi. Kemurkaan-Ku akan menyala seperti api yang tidak dapat dipadamkan.