16 TUHAN berfirman, “Hai Yeremia, jangan doakan umat ini. Jangan berseru minta tolong atau berdoa untuk mereka; jangan merayu kepada-Ku, kerana Aku tidak mahu mendengarkan engkau.
17 Engkau sendiri nampak perbuatan mereka di kota-kota Yehuda dan di jalan-jalan di Yerusalem!
18 Anak-anak mengumpulkan kayu api, orang lelaki menyalakan api, dan orang perempuan mencampur adunan untuk membuat kuih bagi dewi yang dinamakan mereka sebagai Ratu Syurga. Mereka juga mempersembahkan wain kepada tuhan-tuhan lain untuk menyakiti hati-Ku.
19 Tetapi sesungguhnya, bukan Aku yang disakiti mereka, melainkan diri mereka sendiri sehingga mereka dipermalukan.
20 Oleh itu Aku, TUHAN Raja akan menimpakan kemurkaan-Ku yang menyala-nyala, terhadap Rumah TUHAN, terhadap manusia dan binatang, dan juga terhadap pokok serta hasil bumi. Kemurkaan-Ku akan menyala seperti api yang tidak dapat dipadamkan.
21 Hai umat-Ku, kamu tahu bahawa ada beberapa korban yang kamu bakar di atas mazbah harus dibakar sampai habis, dan ada juga korban lain yang boleh kamu makan. Tetapi Aku, TUHAN berfirman, lebih baik kamu makan semuanya!
22 Ketika Aku membawa nenek moyang kamu keluar dari Mesir, Aku tidak memberi mereka peraturan tentang korban untuk menyenangkan hati-Ku atau tentang korban-korban lain untuk Aku.