2 Kota-kota di negeri Siria akan ditinggalkan selama-lamanya. Lembu dan domba akan berkeliaran di sana dan tidak dihalau oleh sesiapa pun.
3 Israel akan kehilangan perlindungan, dan Damsyik akan kehilangan kemerdekaan. Orang Siria yang terselamat akan hidup dalam kehinaan seperti orang Israel. Aku, TUHAN Yang Maha Kuasa telah berfirman.”
4 TUHAN berfirman, “Masanya akan tiba apabila kebesaran Israel akan berakhir, dan kekayaannya akan lenyap.
5 Israel akan menjadi seperti ladang yang hasilnya sudah dituai, dan terbiar seperti ladang di Lembah Refaim selepas hasilnya habis dipungut.
6 Hanya sedikit orang yang akan terselamat. Ketika itu Israel akan menjadi seperti pokok zaitun yang buahnya habis dipetik, dan tinggal beberapa biji sahaja pada bahagian atas sekali atau pada dahan yang rendah. Aku, TUHAN, Allah Israel, telah berfirman.”
7 Apabila hari itu tiba kelak, orang akan kembali minta tolong kepada Pencipta mereka, Allah Israel, Allah yang suci.
8 Mereka tidak lagi bergantung kepada mazbah-mazbah buatan mereka sendiri, ataupun berharap kepada karya tangan mereka sendiri, iaitu patung-patung Dewi Asyera dan mazbah-mazbah untuk membakar kemenyan.