7 Penduduk Yehuda yang terselamat akan menduduki tanah kamu. Mereka akan menggembalakan ternakan di situ, lalu pada malam hari mereka akan tidur di rumah-rumah di kota Askelon. TUHAN, Allah mereka akan menyertai mereka dan menjadikan mereka makmur semula.
8 TUHAN Yang Maha Kuasa berfirman, “Aku telah mendengar bangsa Moab dan Amon menghina serta mengejek umat-Ku. Mereka bercakap besar kerana mereka akan merampas tanah umat-Ku.
9 Demi Aku TUHAN yang hidup, Allah yang disembah Israel, Aku bersumpah bahawa Moab dan Amon akan dimusnahkan seperti Sodom dan Gomora. Negeri-negeri itu akan dipenuhi perigi garam dan selama-lamanya menjadi puing-puing, yang ditumbuhi semak duri. Umat-Ku yang terselamat akan menjarah harta penduduk negeri-negeri itu lalu merampas tanah mereka.”
10 Demikianlah penduduk Moab dan Amon akan dihukum kerana kesombongan dan keangkuhan mereka, dan juga kerana penghinaan mereka terhadap umat TUHAN Yang Maha Kuasa.
11 TUHAN akan menyebabkan mereka sangat ketakutan. Dia akan menghancurkan dewa-dewa di bumi. Kemudian semua bangsa akan beribadat kepada TUHAN, masing-masing di negeri sendiri.
12 TUHAN juga akan menjatuhkan hukuman mati kepada penduduk Etiopia.
13 Selepas itu TUHAN akan menggunakan kuasa-Nya untuk menghancurkan Asyur. Kota Niniwe akan dijadikan tempat yang sunyi sepi dan gurun yang tandus.