1 Saudara-saudaraku! Semasa aku datang kepada kamu untuk memberitakan rancangan Allah yang belum diketahui oleh dunia, aku tidak menggunakan kebijaksanaan dunia ini ataupun kata-kata yang susah difahami.
2 Aku berbuat demikian kerana ketika aku bersama-sama kamu, aku mengambil keputusan untuk memberitakan Yesus Kristus sahaja, terutama kematian-Nya pada kayu salib.
3 Oleh itu, ketika aku datang kepada kamu, aku lemah dan gementar kerana ketakutan.
4 Aku tidak mengajarkan dan mengkhabarkan Berita Baik itu dengan kata-kata menurut kebijaksanaan manusia. Tetapi aku menyampaikannya dengan cara yang membuktikan bahawa Roh Allah berkuasa.
5 Oleh itu, kepercayaan kamu kepada Kristus tidak berdasarkan kebijaksanaan manusia, tetapi berdasarkan kuasa Allah.
6 Walaupun demikian, aku juga berkata-kata tentang kebijaksanaan kepada mereka yang mempunyai kehidupan rohani yang matang. Tetapi kebijaksanaan itu bukanlah kebijaksanaan dunia ini, ataupun kebijaksanaan roh-roh yang berkuasa dan yang memerintah dunia ini. Kekuasaan roh-roh itu akan lenyap.
7 Kebijaksanaan yang aku sampaikan itu kebijaksanaan daripada Allah. Kebijaksanaan itu tidak diketahui oleh umat manusia, tetapi Allah sudah menyediakannya untuk kebahagiaan kita, sebelum Dia menjadikan dunia ini.