1 Korintus 4:1-7 BMDC

1 Kamu harus menganggap kami sebagai hamba Kristus, yang bertanggungjawab untuk mengisytiharkan rancangan Allah yang belum diketahui oleh dunia.

2 Inilah sifat utama yang harus dimiliki oleh seorang hamba seperti itu: Dia harus setia kepada tuannya.

3 Aku tidak menghiraukan apa yang kamu fikirkan tentang diriku ataupun apa yang difikirkan oleh sesiapa pun tentang diriku. Apa yang aku fikirkan tentang diriku sendiri pun tidak penting.

4 Aku tidak berasa bersalah, tetapi hal itu tidak membuktikan bahawa aku tidak bersalah. Tuhan sahaja yang berhak menentukan sama ada aku bersalah atau tidak.

5 Oleh itu, janganlah kamu buat keputusan bahawa seseorang bersalah atau tidak, sebelum waktunya. Tunggulah sehingga Tuhan datang kelak; Dia akan mendedahkan segala rahsia yang tersembunyi dalam kegelapan. Dia juga akan membongkar segala niat yang terpendam di dalam hati manusia. Barulah setiap orang akan mendapat pujian yang layak diterimanya daripada Allah.

6 Saudara-saudaraku! Demi kepentingan kamu, semua itu sudah aku kenakan kepada Apolos dan diriku sendiri. Dengan menggunakan diri kami sebagai contoh, kamu dapat memahami erti pepatah ini, “Patuhlah kepada peraturan yang ada.” Oleh itu tidak seorang pun antara kamu dapat membanggakan seseorang, dan menghina yang lain.

7 Siapakah yang menjadikan dirimu lebih baik daripada orang lain? Bukankah Allah yang mengurniai kamu segala yang kamu miliki? Oleh itu, bagaimanakah kamu dapat membanggakan diri, seolah-olah apa yang kamu miliki itu bukan suatu kurnia?