1 Korintus 9:17-23 BMDC

17 Jika aku melakukan kerja itu menurut kehendakku sendiri, maka aku boleh mengharapkan upah. Tetapi aku mengkhabarkan Berita Baik sebagai suatu kewajipan, kerana Allah sudah menugaskan aku melakukan kerja itu.

18 Maka apakah upahku? Inilah upahku: Aku mendapat hak istimewa untuk mengkhabarkan Berita Baik tanpa meminta bayaran, dan tanpa menuntut hakku sebagai orang yang mengkhabarkan Berita Baik.

19 Aku orang bebas dan aku bukan hamba sesiapa pun. Tetapi aku menjadikan diriku hamba kepada semua orang, supaya aku dapat memimpin banyak orang menjadi pengikut Kristus.

20 Ketika aku mengkhabarkan Berita Baik kepada orang Yahudi, aku berlaku seperti orang Yahudi supaya dapat memimpin mereka menjadi pengikut Kristus. Ketika aku mengkhabarkan Berita Baik kepada orang yang mentaati Taurat Musa, aku berlaku seperti orang yang terikat kepada Taurat, walaupun sebenarnya aku tidak terikat kepada Taurat. Aku melakukannya supaya aku dapat memimpin mereka menjadi pengikut Kristus.

21 Ketika aku mengkhabarkan Berita Baik kepada orang bukan Yahudi, aku berlaku seperti orang bukan Yahudi, yang tidak terikat kepada Taurat orang Yahudi. Aku melakukannya supaya aku dapat memimpin mereka menjadi pengikut Kristus. Tetapi hal ini tidak bererti bahawa aku tidak taat kepada hukum Allah; sebenarnya aku dikuasai oleh hukum Kristus.

22 Di kalangan orang yang tidak yakin akan kepercayaan mereka, aku pun berlaku seperti mereka, supaya aku dapat memimpin mereka menjadi pengikut Kristus. Oleh itu aku menyesuaikan diri dengan keadaan semua orang, supaya dengan segala cara aku dapat menyelamatkan beberapa orang daripada mereka.

23 Semua itu aku lakukan untuk Berita Baik, supaya aku dapat menerima berkatnya juga.