5 Adakah kami tidak berhak membawa isteri Kristian dalam perjalanan, seperti yang dilakukan oleh saudara-saudara Tuhan Yesus dan oleh rasul-rasul lain, termasuk Petrus?
6 Adakah hanya Barnabas dan aku yang harus mencari nafkah sendiri?
7 Tidak ada askar yang membiayai diri sendiri dalam angkatan perang. Tidak ada peladang yang tidak makan buah anggur dari kebun sendiri. Tidak ada gembala yang tidak minum susu daripada domba mereka.
8 Semua contoh yang aku gunakan, diambil daripada pengalaman sehari-hari, tetapi Taurat pun mengemukakan hal yang sama.
9 Di dalam Taurat Musa tertulis, “Janganlah berangus mulut lembu yang sedang mengirik biji-bijian.” Tentunya Allah tidak memberikan perhatian kepada lembu sahaja.
10 Bukankah kita yang dimaksudkan oleh Allah, ketika Dia berfirman demikian? Memang perintah itu tertulis untuk kita. Orang yang membajak tanah dan orang yang menuai tuaian sudah selayaknya bekerja dengan harapan menerima sebahagian daripada tuaian itu.
11 Kami sudah menabur benih rohani dalam hidup kamu. Oleh itu sudah sewajarnya jika kami menuai sedikit berkat kebendaan daripada kamu.