11 Roh Kristus ada pada diri para nabi, dan Roh itu bernubuat tentang penderitaan yang harus ditanggung oleh Kristus, dan tentang kemuliaan-Nya yang akan menyusul. Para nabi berusaha mengetahui masa dan bagaimana hal itu akan berlaku.
12 Allah memberitahu nabi-nabi itu bahawa apa yang dilakukan mereka bukanlah untuk kepentingan mereka sendiri, tetapi untuk kepentingan kamu. Perkara-perkara yang disampaikan oleh nabi-nabi itu, sekarang telah kamu dengar daripada mereka yang menyampaikan Berita Baik itu. Mereka mengisytiharkannya kepada kamu dengan kuasa Roh Allah yang dikirim dari syurga. Bahkan malaikat-malaikat pun ingin memahami semua perkara itu.
13 Oleh itu, hendaklah kamu bersiap sedia. Berwaspadalah dan berharaplah dengan sepenuhnya akan berkat yang diberikan kepada kamu apabila Yesus Kristus datang kembali.
14 Taatlah kepada Allah, dan jangan hidup menurut keinginan kamu yang dahulu, ketika kamu masih belum mengenal Allah.
15 Sebaliknya, hendaklah kamu suci dalam segala sesuatu yang kamu lakukan, sebagaimana Allah yang memanggil kamu itu suci.
16 Di dalam Alkitab tertulis, “Hendaklah kamu suci, kerana Aku suci.”
17 Kamu memanggil Allah itu Bapa, apabila kamu berdoa kepada-Nya. Dia Allah yang menghakimi manusia menurut perbuatan masing-masing dan Dia tidak berat sebelah. Oleh itu hendaklah kamu menghormati Dia selama kamu hidup di dunia.