5 Berkat-berkat itu untuk kamu kerana kamu percaya kepada Allah. Oleh itu kamu dipelihara oleh kuasa Allah supaya kamu menerima penyelamatan yang siap dinyatakan pada akhir zaman.
6 Oleh itu hendaklah kamu bersukacita, meskipun sekarang mungkin kamu harus berdukacita untuk sementara waktu kerana mengalami berbagai-bagai cubaan.
7 Semuanya bertujuan untuk membuktikan sama ada kamu sungguh-sungguh percaya kepada Tuhan atau tidak. Emas yang dapat rosak pun diuji dengan api. Oleh itu, iman kamu yang lebih berharga daripada emas pun harus diuji, supaya menjadi teguh. Dengan demikian, apabila Yesus Kristus datang kembali, kamu akan menerima pujian, kemuliaan, dan penghormatan daripada Allah.
8 Kamu mengasihi Dia meskipun kamu belum pernah melihat Dia. Kamu percaya kepada-Nya meskipun sekarang kamu tidak melihat Dia. Oleh itu, kegembiraan yang kamu alami itu sungguh besar, mulia, dan tidak terkata.
9 Hal itu demikian kerana kamu menerima penyelamatan jiwa kamu, iaitu tujuan kepercayaan kamu kepada Kristus.
10 Penyelamatan inilah yang dikaji dan diselidiki oleh para nabi, dan mereka bernubuat tentang anugerah yang dikurniakan oleh Allah kepada kamu.
11 Roh Kristus ada pada diri para nabi, dan Roh itu bernubuat tentang penderitaan yang harus ditanggung oleh Kristus, dan tentang kemuliaan-Nya yang akan menyusul. Para nabi berusaha mengetahui masa dan bagaimana hal itu akan berlaku.