2 Inilah caranya kamu boleh mengetahui sama ada roh itu Roh Allah atau tidak: Sesiapa mengakui Yesus Kristus datang ke dunia sebagai manusia, orang itu mempunyai Roh yang datang daripada Allah.
3 Tetapi sesiapa menafikan hal ini tentang Yesus, orang itu tidak mempunyai Roh Allah. Orang itu mempunyai roh daripada Musuh Kristus. Kamu sudah mendengar bahawa roh itu akan datang, dan sekarang roh itu sudah di dunia ini.
4 Tetapi anak-anakku, kamu milik Allah. Kamu sudah mengalahkan nabi-nabi palsu itu, kerana Roh yang ada pada kamu lebih berkuasa daripada roh yang ada pada orang milik dunia ini.
5 Nabi-nabi palsu itu berkata-kata tentang perkara-perkara dunia, dan orang dunia ini mendengar kata-kata mereka, kerana mereka milik dunia ini.
6 Tetapi kita milik Allah. Sesiapa yang mengenal Allah, mendengar kata-kata kita. Sesiapa yang bukan milik Allah, tidak mahu mendengar kata-kata kita. Itulah caranya kita dapat membezakan Roh yang memberikan ajaran benar, dengan roh yang menyesatkan orang.
7 Sahabat-sahabat yang aku kasihi, marilah kita saling mengasihi kerana kasih berasal daripada Allah. Sesiapa yang saling mengasihi, mengenal Allah dan dia anak Allah.
8 Sesiapa yang tidak mengasihi orang lain, tidak mengenal Allah kerana Allah itu kasih.