4 Tetapi anak-anakku, kamu milik Allah. Kamu sudah mengalahkan nabi-nabi palsu itu, kerana Roh yang ada pada kamu lebih berkuasa daripada roh yang ada pada orang milik dunia ini.
5 Nabi-nabi palsu itu berkata-kata tentang perkara-perkara dunia, dan orang dunia ini mendengar kata-kata mereka, kerana mereka milik dunia ini.
6 Tetapi kita milik Allah. Sesiapa yang mengenal Allah, mendengar kata-kata kita. Sesiapa yang bukan milik Allah, tidak mahu mendengar kata-kata kita. Itulah caranya kita dapat membezakan Roh yang memberikan ajaran benar, dengan roh yang menyesatkan orang.
7 Sahabat-sahabat yang aku kasihi, marilah kita saling mengasihi kerana kasih berasal daripada Allah. Sesiapa yang saling mengasihi, mengenal Allah dan dia anak Allah.
8 Sesiapa yang tidak mengasihi orang lain, tidak mengenal Allah kerana Allah itu kasih.
9 Inilah cara Allah menunjukkan kasih-Nya kepada kita: Dia mengutus Anak-Nya yang tunggal ke dalam dunia supaya melalui Anak-Nya kita beroleh hidup sejati dan kekal.
10 Inilah kasih: Bukannya kita telah mengasihi Allah, tetapi Allah mengasihi kita dan mengutus Anak-Nya supaya melalui Dia dosa kita diampunkan.