13-14 Kami menulis kepada kamu hanya tentang perkara yang dapat kamu baca dan fahami. Aku berharap kamu akan betul-betul memahami kami kelak, walaupun sekarang kamu kurang memahami kami. Dengan demikian pada hari Tuhan Yesus datang kelak, kamu akan bangga dengan kami, seperti kami pun akan bangga dengan kamu.
15 Aku begitu yakin akan semua itu, sehingga pada mulanya aku bercadang hendak melawat kamu, supaya kamu boleh menerima berkat dua kali ganda.
16 Aku bercadang hendak melawat kamu dalam perjalananku ke Makedonia dan juga dalam perjalanan kembali supaya kamu dapat membantu aku meneruskan perjalanan ke Yudea.
17 Tetapi aku mengubah rancanganku. Adakah hal itu bererti bahawa pendirianku tidak tetap? Semasa aku mencadangkan sesuatu, adakah aku mementingkan diri sendiri sahaja, kerana sebentar berkata “Ya” dan sebentar “Tidak”?
18 Demi Allah yang dapat dipercayai, janjiku kepada kamu bukanlah “Ya” dan “Tidak.”
19 Hal itu demikian kerana Yesus Kristus, Anak Allah yang diisytiharkan kepada kamu oleh Silas, Timotius dan aku sendiri bukanlah “Ya” dan “Tidak.” Sebaliknya Dia itu jawapan “Ya” daripada Allah,
20 kerana melalui Dia, Allah sudah mengatakan “Ya” kepada semua janji-Nya. Itulah sebabnya melalui Yesus Kristus, kata “Amin” kita ucapkan untuk memuliakan Allah.