8 Saudara-saudaraku, kami mahu kamu mengetahui kesusahan yang kami alami di wilayah Asia. Penderitaan yang kami tanggung itu sedemikian berat sehingga kami kehilangan harapan untuk hidup.
9 Kami berasa seolah-olah sudah dijatuhi hukuman mati. Tetapi sebenarnya perkara itu berlaku, supaya kami tidak bergantung kepada diri sendiri, melainkan kepada Allah yang membangkitkan orang mati.
10 Dia sudah menyelamatkan kami daripada bahaya kematian yang besar itu, dan Dia akan menyelamatkan kami. Kepada Dialah kami berharap, kerana Dia akan menyelamatkan kami lagi.
11 Dengan bantuan doa kamu, kami yakin bahawa Allah akan memberkati kami sebagai jawapan kepada doa-doa kamu untuk kami. Lalu banyak orang akan bersyukur kepada Allah kerana kami.
12 Kami merasa bangga kerana hati nurani kami meyakinkan kami bahawa hidup kami di dunia ini, terutama sekali hubungan kami dengan kamu, dikuasai oleh keikhlasan dan ketulusan yang dikurniakan oleh Allah. Kami melakukannya bukan dengan kebijaksanaan manusia, tetapi dengan kebolehan yang diberikan oleh Allah.
13-14 Kami menulis kepada kamu hanya tentang perkara yang dapat kamu baca dan fahami. Aku berharap kamu akan betul-betul memahami kami kelak, walaupun sekarang kamu kurang memahami kami. Dengan demikian pada hari Tuhan Yesus datang kelak, kamu akan bangga dengan kami, seperti kami pun akan bangga dengan kamu.
15 Aku begitu yakin akan semua itu, sehingga pada mulanya aku bercadang hendak melawat kamu, supaya kamu boleh menerima berkat dua kali ganda.