4 Malaikat-malaikat berdosa pun tidak terlepas daripada hukuman Allah. Dia membuang mereka ke dalam neraka. Di situ mereka dirantai di tempat yang gelap sehingga Hari Pengadilan.
5 Dunia zaman dahulu pun tidak terlepas daripada hukuman Allah. Dia mendatangkan air bah kepada orang derhaka zaman itu. Hanya Nuh dan tujuh orang lain yang diselamatkan-Nya, kerana Nuh mengisytiharkan cara hidup yang dikehendaki Allah.
6 Allah menghukum kota Sodom dan Gomora; Dia memusnahkannya dengan api, supaya menjadi contoh tentang apa yang akan berlaku terhadap orang derhaka.
7 Tetapi Allah menyelamatkan Lot, seorang baik yang bersusah hati kerana perbuatan cabul orang jahat di situ.
8 Lot yang baik itu hidup di kalangan mereka, dan hari demi hari batinnya terseksa kerana melihat dan mendengar perbuatan mereka yang jahat itu.
9 Demikianlah Tuhan tahu akan cara menyelamatkan orang salih daripada cubaan. Tuhan juga tahu akan cara menahan orang jahat supaya dihukum pada Hari Pengadilan,
10 terutamanya mereka yang menuruti keinginan hawa nafsu yang kotor, dan mereka yang menghina kekuasaan Allah.Guru-guru palsu ini tidak tahu malu dan sombong. Mereka tidak menghormati makhluk-makhluk mulia di syurga; sebaliknya mereka menghina semua makhluk itu.