1 Surat ini daripada Paulus, Silas, dan Timotius, serta ditujukan kepada jemaah di Tesalonika, yang menjadi umat Allah Bapa kita dan Tuhan Yesus Kristus.
2 Semoga Allah Bapa kita dan Tuhan Yesus Kristus mengurniai kamu berkat dan kesejahteraan.
3 Saudara-saudaraku, kami harus sentiasa bersyukur kepada Allah kerana kamu. Memang sepatutnya kami berbuat demikian, kerana kamu semakin percaya kepada Yesus dan kamu semakin mengasihi satu sama lain.
4 Itulah sebabnya kami membanggakan kamu antara jemaah Allah di tempat lain. Dengan bangga kami menceritakan bagaimana kamu tetap percaya kepada Kristus semasa mengalami penganiayaan dan penderitaan.
5 Di sini nyata betapa adilnya penghakiman Allah: Allah akan menjadikan kamu layak untuk menikmati Dunia Baru Allah, yang baginya kamu telah mengalami penderitaan.
6 Allah akan melakukan apa yang adil. Dia akan mendatangkan penderitaan kepada orang yang membuat kamu menderita.