17 Ajaran mereka itu seperti luka yang mengudis dan tidak dapat sembuh. Dua orang daripada mereka ialah Himeneus dan Filitus.
18 Mereka telah menyimpang daripada ajaran yang benar, dan sekarang merosakkan iman sesetengah orang yang percaya kepada Kristus. Mereka berkata bahawa kebangkitan daripada kematian sudah berlaku.
19 Tetapi asas kukuh yang sudah diletakkan oleh Allah tidak dapat digoncangkan. Di atasnya tertulis kata-kata ini: “Tuhan mengenal orang milik-Nya,” dan “Sesiapa yang berkata bahawa dia milik Tuhan, mesti berhenti melakukan perbuatan yang salah.”
20 Di dalam rumah yang besar ada bermacam-macam pinggan mangkuk. Ada yang dibuat daripada perak dan emas, ada juga yang dibuat daripada kayu dan tanah. Ada yang digunakan untuk keperluan istimewa, ada juga yang digunakan untuk keperluan biasa.
21 Sesiapa yang membersihkan diri daripada segala ajaran sesat, akan digunakan untuk tujuan yang mulia. Dia telah mengabdikan diri kepada Tuannya dan berguna bagi-Nya. Dia sedia digunakan untuk semua pekerjaan yang baik.
22 Jauhkanlah diri daripada nafsu orang muda. Berusahalah untuk hidup menurut kehendak Allah, setia kepada-Nya, mengasihi saudara seiman, dan hidup damai dengan mereka. Lakukanlah semua perkara itu bersama-sama mereka yang meminta pertolongan Tuhan dengan hati yang tulus.
23 Jauhkan diri daripada perdebatan yang sia-sia dan tidak berguna. Engkau tahu bahawa semua itu hanya menimbulkan pertengkaran.