10 Tetapi engkau telah mengikut ajaranku, kelakuanku, dan tujuan hidupku. Engkau telah memperhatikan bagaimana aku sungguh percaya kepada Kristus dan sabar menanggung penderitaan; bagaimana aku mengasihi saudara seiman dan bertabah hati.
11 Engkau melihat bagaimana aku menanggung penganiayaan dan penderitaan. Engkau tahu akan segala yang berlaku kepadaku di Antiokhia, Ikonium, dan Listra. Aku telah dianiaya dengan kejam, tetapi aku diselamatkan oleh Tuhan daripada semuanya.
12 Semua orang yang mahu hidup beribadat dan bersatu dengan Kristus akan dianiaya.
13 Orang jahat dan penipu akan menjadi semakin jahat. Mereka menipu orang lain, padahal mereka sendiri juga tertipu.
14 Tetapi Timotius, hendaklah engkau tetap berpegang kepada ajaran benar yang sudah diajarkan kepadamu dan yang engkau percayai dengan sepenuhnya. Engkau mengetahui siapa guru-gurumu dahulu,
15 dan sejak kecil lagi engkau telah mengenal Alkitab. Alkitab itu boleh memberi engkau kebijaksanaan untuk mendapat penyelamatan melalui iman kepada Kristus Yesus.
16 Semua yang tertulis di dalam Alkitab diilhami oleh Allah dan berguna untuk mengajar apa yang benar, untuk menegur dan membetulkan apa yang salah, dan untuk mengajar orang supaya hidup menurut kehendak Allah.