2 supaya mengkhabarkan berita daripada Allah dan sentiasa bertekun untuk mengisytiharkannya, baik masanya tepat atau tidak. Hendaklah engkau meyakinkan orang, menunjukkan kesalahan mereka dan memberikan galakan kepada mereka. Ajarlah orang dengan segala kesabaran.
3 Akan tiba masanya apabila orang tidak mahu mendengar ajaran yang benar. Mereka akan menuruti keinginan sendiri dan mengumpulkan banyak guru yang mahu mengajar perkara-perkara yang ingin didengar oleh mereka.
4 Mereka akan menutup telinga terhadap apa yang benar, tetapi menumpukan perhatian kepada cerita dongeng.
5 Dalam keadaan apa pun, engkau mesti tahu mengawal diri. Tabahlah dalam penderitaan, laksanakan tugas mengisytiharkan Berita Baik, dan jalankanlah kewajipanmu sebagai hamba Allah dengan sebaik-baiknya.
6 Tentang diriku, sudah tiba masanya aku akan mati sebagai korban kepada Allah. Tidak lama lagi aku meninggalkan dunia ini.
7 Aku sudah berusaha dengan sebaik-baiknya dalam perlumbaan dan aku sudah sampai di garis akhir. Aku tetap setia kepada Kristus sampai akhir.
8 Sekarang hadiah kemenangan menantikan aku. Pada Hari Kiamat, Tuhan, Hakim yang adil akan menyerahkan hadiah itu kepadaku, kerana aku telah hidup menurut kehendak-Nya. Bukan aku sahaja yang akan menerimanya, tetapi juga semua orang yang menantikan kedatangan-Nya dengan penuh kerinduan.