11 Allah melakukan semuanya menurut rancangan dan keputusan-Nya sendiri. Dari mula-mula lagi Dia telah memilih kita, kerana Dia mahu supaya kita menjadi umat-Nya oleh sebab hidup bersatu dengan Kristus.
12 Marilah kita, yang pertama sekali berharap kepada Kristus, memuji kemuliaan Allah!
13 Kamu juga menjadi umat Allah, ketika kamu mendengar berita tentang ajaran benar, iaitu Berita Baik yang membawa penyelamatan kepada kamu. Kamu percaya kepada Kristus, dan untuk menunjukkan bahawa kamu milik Allah, Allah mengurniai kamu Roh-Nya yang telah dijanjikan-Nya itu.
14 Roh itu jaminan bahawa kita akan menerima apa yang telah dijanjikan oleh Allah kepada umat-Nya. Hal itu meyakinkan kita bahawa Allah akan membebaskan umat-Nya dengan sepenuhnya. Marilah kita memuji kemuliaan-Nya!
15 Oleh itu, sejak aku mendengar berita bahawa kamu percaya kepada Tuhan Yesus, dan bahawa kamu mengasihi semua umat Allah,
16 aku tidak berhenti-henti bersyukur kepada Allah untuk kamu. Aku mengingat kamu apabila aku berdoa.
17 Aku memohon supaya Allah Tuhan kita Yesus Kristus, Bapa yang mulia, mengurniai kamu Roh-Nya. Roh Allah akan menjadikan kamu bijaksana dan akan menunjukkan Allah kepada kamu sehingga kamu mengenal Dia.