Galatia 2:14-20 BMDC

14 Ketika aku melihat sikap mereka tidak sesuai dengan ajaran Berita Baik yang benar itu, aku berkata kepada Petrus di hadapan semua orang di situ, “Kamu orang Yahudi, tetapi kamu hidup seperti orang bukan Yahudi. Mengapa kamu sekarang mahu memaksa orang bukan Yahudi hidup seperti orang Yahudi?”

15 Memang benar kami ini dilahirkan sebagai orang Yahudi, dan bukan “orang bukan Yahudi yang berdosa”.

16 Meskipun demikian kami tahu bahawa orang berbaik semula dengan Allah kerana percaya kepada Yesus Kristus, dan bukan kerana mengikut Taurat. Kami pun percaya kepada Yesus Kristus, supaya kami berbaik semula dengan Allah melalui iman kami, bukan kerana kami mengikut Taurat. Dengan mengikut Taurat, tiada seorang pun dapat berbaik semula dengan Allah.

17 Dalam usaha kami untuk berbaik semula dengan Allah melalui hidup bersatu dengan Kristus, ternyata kami masih orang berdosa juga seperti orang bukan Yahudi. Adakah hal ini bererti bahawa Kristus yang menyebabkan kami berdosa? Tentu tidak!

18 Jika aku mula membina semula sistem Taurat yang telah aku runtuhkan, maka aku menunjukkan bahawa aku sudah melanggar hukum.

19 Terhadap Taurat, aku ini seperti sudah mati. Aku telah dimatikan oleh Taurat itu sendiri, supaya aku dapat hidup untuk Allah. Aku sudah disalibkan bersama-sama Kristus.

20 Yang hidup sekarang ini bukanlah aku, tetapi Kristus yang hidup dalam diriku. Hidup yang aku hayati sekarang ini adalah hidup dengan iman kepada Anak Allah yang mengasihi aku dan yang telah mengorbankan diri-Nya untuk aku.