Galatia 2:6-12 BMDC

6 Mereka yang dianggap sebagai pemimpin Kristian, tidak menganjurkan apa-apa yang baru. Aku berkata demikian kerana aku tidak memandang kepada kedudukan mereka, kerana Allah pun tidak memandang kepada rupa orang.

7 Sebaliknya mereka mengaku bahawa Allah telah menugaskan aku mengkhabarkan Berita Baik kepada orang bukan Yahudi, sebagaimana Allah telah menugaskan Petrus mengkhabarkan Berita Baik kepada orang Yahudi.

8 Allah menjadikan aku rasul kepada orang bukan Yahudi, sebagaimana Allah menjadikan Petrus rasul kepada orang Yahudi.

9 Yakobus, Petrus, dan Yohanes, yang nampaknya menjadi pemimpin Kristian, mengaku bahawa Allah telah memberi aku tugas yang khas itu. Oleh itu mereka berjabat tangan dengan Barnabas dan aku sebagai tanda bahawa kami ini rakan sekerja. Lalu mereka dan kami bersetuju bahawa Barnabas dan aku akan bekerja di kalangan orang bukan Yahudi, sedangkan mereka di kalangan orang Yahudi.

10 Hanya satu permintaan mereka iaitu supaya kami sentiasa memperhatikan orang miskin di kalangan mereka. Perkara itu memang ingin aku lakukan.

11 Ketika Petrus datang ke Antiokhia, aku menentang dia di hadapan umum, kerana apa yang dilakukannya salah.

12 Pada mulanya Petrus makan dengan saudara-saudara bukan Yahudi. Tetapi setelah beberapa orang yang diutus oleh Yakobus tiba, Petrus menjauhkan diri daripada saudara bukan Yahudi dan tidak mahu duduk makan dengan mereka. Petrus takut akan orang yang berpendapat bahawa orang bukan Yahudi yang percaya kepada Kristus pun harus disunat.