Galatia 2:8-14 BMDC

8 Allah menjadikan aku rasul kepada orang bukan Yahudi, sebagaimana Allah menjadikan Petrus rasul kepada orang Yahudi.

9 Yakobus, Petrus, dan Yohanes, yang nampaknya menjadi pemimpin Kristian, mengaku bahawa Allah telah memberi aku tugas yang khas itu. Oleh itu mereka berjabat tangan dengan Barnabas dan aku sebagai tanda bahawa kami ini rakan sekerja. Lalu mereka dan kami bersetuju bahawa Barnabas dan aku akan bekerja di kalangan orang bukan Yahudi, sedangkan mereka di kalangan orang Yahudi.

10 Hanya satu permintaan mereka iaitu supaya kami sentiasa memperhatikan orang miskin di kalangan mereka. Perkara itu memang ingin aku lakukan.

11 Ketika Petrus datang ke Antiokhia, aku menentang dia di hadapan umum, kerana apa yang dilakukannya salah.

12 Pada mulanya Petrus makan dengan saudara-saudara bukan Yahudi. Tetapi setelah beberapa orang yang diutus oleh Yakobus tiba, Petrus menjauhkan diri daripada saudara bukan Yahudi dan tidak mahu duduk makan dengan mereka. Petrus takut akan orang yang berpendapat bahawa orang bukan Yahudi yang percaya kepada Kristus pun harus disunat.

13 Saudara Yahudi yang lain pula bersikap munafik seperti Petrus. Bahkan Barnabas pun terpengaruh untuk bersikap seperti mereka.

14 Ketika aku melihat sikap mereka tidak sesuai dengan ajaran Berita Baik yang benar itu, aku berkata kepada Petrus di hadapan semua orang di situ, “Kamu orang Yahudi, tetapi kamu hidup seperti orang bukan Yahudi. Mengapa kamu sekarang mahu memaksa orang bukan Yahudi hidup seperti orang Yahudi?”