1 Di kalangan jemaah di Antiokhia terdapat beberapa orang nabi dan guru: Barnabas, Simeon yang digelar Si Hitam, Lukius dari Kirene, Menahem yang dibesarkan bersama-sama Gabenor Herodes, dan Saulus.
2 Sementara mereka beribadat kepada Tuhan dan berpuasa, Roh Allah berkata kepada mereka, “Pilihlah Barnabas dan Saulus khas untuk-Ku, supaya mereka menjalankan tugas yang sudah Aku tetapkan bagi mereka.”
3 Setelah berpuasa dan berdoa, mereka meletakkan tangan ke atas kepala Barnabas dan Saulus, lalu mengutus mereka berdua.
4 Barnabas dan Saulus pergi ke Seleukia, kerana diutus oleh Roh Allah. Dari sana mereka belayar ke pulau Siprus.
5 Apabila mereka tiba di Salamis, mereka menyampaikan firman Allah di rumah ibadat orang Yahudi. Yohanes Markus menolong mereka dalam tugas itu.