16 Paulus berdiri lalu memberikan isyarat dengan tangan, dan mula berkata,“Saudara-saudara bangsa Israel dan semua saudara lain di sini yang taat kepada Allah, dengarlah!
17 Allah orang Israel telah memilih nenek moyang kita dan menjadikan mereka bangsa yang besar, semasa mereka tinggal di Mesir sebagai orang asing. Allah membawa mereka keluar dari Mesir dengan kuasa-Nya yang besar.
18 Dia bersabar terhadap mereka selama empat puluh tahun di padang gurun.
19 Dia memusnahkan tujuh bangsa di tanah Kanaan dan menjadikan negeri itu milik umat-Nya.
20 Semua itu berlangsung selama 450 tahun.Setelah itu Allah mengurniai mereka hakim-hakim sehingga masa Nabi Samuel.
21 Apabila mereka meminta seorang raja, Allah memberi mereka Saul anak Kis daripada suku Benyamin untuk menjadi raja selama empat puluh tahun.
22 Setelah Allah menyingkirkan dia daripada kedudukannya, Allah menjadikan Daud raja mereka. Inilah yang dikatakan oleh Allah tentang Daud, ‘Aku mendapati Daud anak Isai seorang yang menyenangkan hati-Ku. Dia orang yang akan melakukan segala kehendak-Ku.’