23 Sepucuk surat yang berbunyi sebagai berikut dikirim melalui mereka,“Kepada semua saudara yang berasal daripada bangsa bukan Yahudi, yang tinggal di Antiokhia, Siria, dan Kilikia. Salam daripada kami, rasul-rasul, pemimpin-pemimpin jemaah, dan jemaah di sini.
24 Kami mendengar bahawa beberapa orang daripada kalangan kami sudah menyusahkan dan membingungkan saudara semua dengan ajaran mereka. Padahal kami tidak menyuruh mereka melakukan hal itu.
25 Oleh itu kami bermesyuarat dan bersetuju memilih beberapa orang lalu mengutus mereka kepada saudara semua. Mereka akan pergi dengan Barnabas dan Paulus.
26 Kedua-dua orang saudara yang kami kasihi itu sudah mempertaruhkan nyawa kerana mengabdikan diri kepada Tuhan kita Yesus Kristus.
27 Kami mengutus Yudas dan Silas, lalu mereka akan memberitahukan hal yang sama, seperti yang kami tuliskan dalam surat ini.
28 Roh Allah dan kami bersetuju bahawa kami tidak perlu membebani saudara semua dengan kewajipan lain, kecuali yang mustahak sahaja:
29 Janganlah makan makanan yang sudah dipersembahkan kepada berhala; jangan makan darah; jangan makan daging binatang yang mati dicekik, dan jauhkan diri daripada perbuatan cabul. Jika saudara semua tidak melakukan perkara-perkara itu, saudara-saudara berbuat yang betul. Sekian sahaja dan salam bahagia.”