19 Oleh itu mereka membawa Paulus ke mesyuarat Areopagus. Di situ mereka berkata, “Kami ingin mendengar ajaran baru yang kamu beritakan itu.
20 Beberapa perkara yang kamu kemukakan itu aneh pada pendengaran kami. Oleh itu kami ingin mengetahui maknanya.” (
21 Mereka berkata demikian, kerana semua orang Atena dan orang bangsa asing yang tinggal di situ suka sekali menghabiskan masa dengan mendengar dan menceritakan hal-hal yang paling mutakhir.)
22 Lalu Paulus berdiri di hadapan orang yang berkumpul di Areopagus dan berkata, “Saudara-saudara orang Atena! Saya melihat bahawa dalam segala hal, saudara-saudara sangat menghormati dewa-dewa.
23 Pada masa saya menjelajahi bandar dan melihat tempat ibadat saudara semua, saya menjumpai sebuah mazbah yang bertuliskan, ‘Kepada Allah Yang Tidak Dikenal’. Sebenarnya, Allah yang saudara-saudara sembah tetapi tidak saudara-saudara kenal, Dialah yang sekarang saya beritakan kepada saudara semua.
24 Allah yang menjadikan dunia ini dengan segala isinya, Dialah Tuhan langit dan bumi. Dia tidak tinggal di dalam kuil-kuil yang dibuat oleh manusia.
25 Dia juga tidak memerlukan pertolongan manusia, kerana Dialah yang memberikan hidup dan nafas serta segala sesuatu kepada manusia.