1 Setelah itu Paulus meninggalkan Atena dan pergi ke Korintus.
2 Di situ dia berjumpa dengan seorang Yahudi bernama Akwila, yang dilahirkan di negeri Pontus. Akwila baru sahaja datang dari Italia dengan isterinya, Priskila. Mereka datang ke Korintus kerana Kaisar Klaudius mengusir semua orang Yahudi dari Roma. Paulus pergi menjumpai Akwila dan Priskila,
3 lalu tinggal dan bekerja bersama-sama mereka, kerana mereka dan Paulus sama-sama menyara hidup dengan membuat khemah.
4 Setiap hari Sabat, Paulus mengadakan perbincangan dengan orang yang berkumpul di rumah ibadat untuk meyakinkan orang Yahudi mahupun orang Yunani tentang Yesus.
5 Setelah Silas dan Timotius tiba dari Makedonia, Paulus menggunakan seluruh masanya untuk memberitakan perkhabaran daripada Allah. Dia memberikan kesaksian kepada orang Yahudi bahawa Yesus Penyelamat yang diutus oleh Allah.
6 Tetapi mereka menentang dan menghina Paulus. Oleh itu Paulus mengebaskan debu daripada pakaiannya sebagai amaran kepada mereka dan berkata, “Jika kamu binasa, kamu sendiri yang bertanggungjawab. Aku tidak bertanggungjawab terhadap hal itu. Mulai sekarang aku akan pergi kepada orang bukan Yahudi.”