1 Sementara Apolos tinggal di Korintus, Paulus menjelajah kawasan pedalaman daerah itu lalu tiba di Efesus. Di situ dia berjumpa dengan beberapa orang yang percaya kepada Yesus.
2 Dia bertanya kepada mereka, “Sudahkah kamu menerima Roh Allah pada waktu kamu percaya kepada Yesus?”Mereka menjawab, “Kami belum pernah mendengar bahawa ada Roh Allah.”
3 “Jika demikian, dengan baptisan apakah kamu dibaptis?” tanya Paulus.“Dengan baptisan seperti yang diajarkan oleh Yohanes,” jawab mereka.
4 Lalu Paulus berkata, “Yohanes membaptis orang untuk menyatakan mereka sudah bertaubat daripada dosa. Dia memberitahu orang Israel supaya percaya kepada Orang yang akan datang kemudian daripadanya; Orang itu Yesus.”
5 Apabila mereka mendengar hal itu, mereka dibaptis demi nama Tuhan Yesus.
6 Ketika Paulus meletakkan tangannya ke atas kepala mereka, Roh Allah menguasai mereka, lalu mereka bertutur dalam bahasa-bahasa yang ajaib, serta menyampaikan perkhabaran Allah.