26 Sekarang saudara sekalian sudah melihat dan mendengar apa yang dilakukan oleh Si Paulus itu. Dia berkata bahawa berhala yang dibuat oleh manusia sama sekali bukan dewa. Dia berjaya meyakinkan banyak orang, bukan sahaja di Efesus, bahkan hampir di seluruh wilayah Asia.
27 Hal itu membahayakan kerana perniagaan kita akan mendapat nama buruk. Bukan itu sahaja, bahkan orang tidak akan menghormati kuil Dewi Artemis lagi dan kebesarannya pun akan lenyap. Padahal Dewi Artemis disembah oleh semua orang di Asia dan di seluruh dunia!”
28 Apabila mereka mendengar hal itu, mereka sangat marah dan mula berseru, “Hidup Artemis, dewi orang Efesus!”
29 Rusuhan itu meluas ke seluruh kota. Kumpulan perusuh itu menangkap Gayus dan Aristarkhus, orang Makedonia yang menemani Paulus dalam perjalanannya, lalu menyeret mereka ke stadium kota itu.
30 Paulus sendiri mahu menghadap orang ramai untuk berkata-kata kepada mereka, tetapi pengikut Yesus di situ tidak membenarkan dia.
31 Beberapa orang pegawai kerajaan di daerah itu, yang bersahabat dengan Paulus, menyuruh orang memberitahu Paulus supaya tidak masuk ke stadium itu.
32 Sementara itu, orang yang berkumpul di stadium menjadi kacau-bilau. Ada yang berteriak begini dan ada yang berteriak begitu, kerana kebanyakan orang tidak tahu mengapa mereka datang di situ.